Pages

Wednesday, 16 March 2011

SALAH SIAPA?


“Tok, tok, tok,” pintu biik darjah 6 Galaksi diketuk.
Najwa berhenti menulis jawapan kerja rumah matematik yang diarah. Semua pelajar memandang ke muka pintu yang masih terbuka. Najwa juga demikian dan termasulah Cikgu R.  Pelajar yang berdiri di depan pintu itu memang cukup dikenali mereka. Bukan sebab dia adalah kawan sekelas mereka tetapi kerana namanya kerap menjadi sebutan Cikgu R – Guru Darjah 6 Galaksi.
“Selamat pagi cikgu”
Idah memberi salam.
“Ah, engkau lagi! Tahukah engkau, cikgu paling tidak suka kepada pelajar yang lewat masuk kelas?”
Kata-kata Idah segera dipintas oleh Cikgu R.
“Minta maaf cikgu, saya sudah berusaha untuk sampai lebih awal tapi…”
“Tapi apa?”
Cikgu R mengherdik garang. Gema suaranya kedengaran hingga ke seluruh bilik darjah Sekolah Rendah Kebangsaan Karakit.
“Sudah berapa kali engkau lewat datang ke sekolah dan alasan yang sama jugalah yang saya dengar”, sambung Cikgu R lagi.
Idah diam kemudian terus melangkah masuk ke dalam bilik darjah.
“Waah, terus saja ke meja! Tidak beradab betul. Saya yang ada di depan ini tidak dipandang langsung.”
Cikgu R kelihatan menjadi lebih berang.
“Minta maaf cikgu. Saya mahu letakkan dulu buku-buku saya di meja saya. Saya memang hendak berjumpa cikgu lepas ini,” kata Idah dengan tenang.
“Amboi, amboi, amboi! Pintarnya engkau menjawab. Tak perlu. Datang terus ke depan.”
Cikgu R berdiri sambil menolak pinggang, menunggu Idah menghampirinya.
“Selamat pagi cikgu. Saya minta maaf kalau kurang beradab tadi,” kata Idah penuh sopan.
“aaah!”
‘Pess!’
Tamparan Cikgu R singgah di pipi Idah yang masih kelihatan basah terkena peluh.
“Idah!” Najwa menjerit memanggil nama Idah, rakan karibnya sejak darjah 1.
Idah rebah, tersungkur. Buku-bukunya jatuh berselerak di lantai. Dia tidak menangis. Perlahan-lahan dia bangun dan mengutip buku-buku latihan dan rujukannya.
“Mari, biar saya tolong awak kutip buku-buku awak ya Idah?” Najwa segera meninggalkan kerusinya dan mula membantu Idah mengutip semua bukunya.
“Tidak perlulah Najwa, saya boleh kutipnya sendiri. Terima kasih ya kerana ingin menolong saya.”  Katanya perlahan dan tersekat-sekat.
“Tidak. Saya mesti tolong awak juga. Awak masih letih. “
“Najwa, siapa suruh awak bantu dia? Saya ada beri arahankah?” Bentak Cikgu R
“Kasihanlah dia cikgu. Dia baru saja sampai sudah jadi begini.”
Najwa meluahkan perasaan simpatinya.
“Yang awak sibuk-sibuk tu mengapa? Dia ni sudah seumur awak. Sudah besar. Balik ke tempat duduk awak,” tengking Cikgu R kemudian segera mencapai rotan yang ada di atas meja guru.
“Tapi cikgu..”
“Saya kata balik ke kerusi engkau, baliklah.” Suaranya semakin tinggi.
“Balik!” Dia menengking.
Suaranya lebih tinggi lagi apabila melihat Najwa masih tidak mahu bergerak.
Najwa memandang muka Idah. Idah tidak menangis tetapi di kedua kelopak matanya kelihatan air jernih menggenangi kelopak bawah matanya. Di hujung bibir Idah kelihatan ada darah yang mengalir keluar hampir ke dagunya.
Idah kemudiannya berdiri sambil memandang Cikgu R. Buku-bukunya  semua telah dikutip dan sedang dijinjingnya.
“Terima kasih cikgu. Mudah-mudahan dengan  cara mendidik cikgu ini akan menjadikan saya lebih baik, rajin dan pandai. Semoga jasa cikgu dirahmati Allah.”
Idah mengucapkan terima kasih.
“Bolehkah saya duduk di kerusi saya, cikgu?” Tanya Idah dengan nada sebak.
“Boleh tu boleh tapi bukan hari ini. Hari esok atau seterusnya. Itu pun kalau engkau tidak lewat sampai ke sekolah dan masuk ke kelas saya,” Cikgu R menekan-nekan ubun-ubun Idah.
Idah membiarkan sahaja. Bagi dia, Cikgu R adalah Guru Matematik dan Guru Darjahnya dan perlu terus dihormati.
“Idah, awak nampak pintu tu?” Tanpa Cikgu R sambil menuding jarinya ke pintu yang terbuka.
“Nampak cikgu,” jawab Idah. Ringkas.
“Dengan arahan saya, awak dengan buku-buku awak boleh pulang sekarang.”
Cikgu R menepis bahu Idah.
“Saya tidak suka pelajar lewat masuk kelas saya. Pemalas macam awak ini perlu diajar dengan cara ini. Awak boleh pulang sekarang.”
Cikgu R memegang bahu Idah, memusingkan badannya menghadap ke pintu dan kemudian menolak badan Idah hingga ke luar bilik darjah.
“Pulang!” Herdiknya lagi.
“Cikgu, janganlah begitu. Idah bukan sengaja datang lewat. Kasihanlah tengok dia.” Najwa cuba meminta simpati Cikgu R supaya membenarkan Idah masuk  ke bilik darjah.
“Awak apa tahu? Awak tahu apa saya sedang fikir? Awak tahu kenapa saya buat begini?” Tanya Cikgu R kepada Najwa.
Sungguhpun begitu Cikgu R tidak berniat pun mengetahui jawapan Najwa.
“Cikgu, tolonglah. Biarlah dia masuk dan belajar sama-sama dengan kami,” ujar Najwa.
Dia Ketua Kelas. Dia harus berusaha menarik simpati Cikgu R untuk membenarkan Idah masuk ke kelas. Kemudian diikuti oleh beberapa orang murid lagi. Ketika Cikgu R melayan rayuan rakan-rakan Najwa di 6 Galaksi, Idah tela pun melangkah pulang meninggalkan pintu bilik darjah  yang masih terbuka.
“Biarkan dia. Budak pemalas tidak perlu dimanjakan. Mesti kena ajar.” Cikgu R bercakap sambil melihat Idah yang semakin jauh dari pandangan matanya.

3 hari selepas itu....

(Bersambung..)