Pages

Friday, 18 February 2011

NASIB BAIKLAH SAYA MEMAKAI KASUT KULIT..

Pagi itu saya perlu membuat panggilan telefon dengan segera. Tidaklah penting tapi hanya untuk membuktikan bahawa saya tidak lupakan dia, isteri yang berseorangan di rumah.
     Bagaimanapun, skrin handphone menjelaskan bahawa di kawasan itu sukar untuk mendapat rangkaian celcom. Saya tidak berputus asa. Saya turun ke tanah dan berjalan-jalan di sekitar halaman rumah kerajaan yang dikhaskan untuk para jururawat desa yang bertugas di klinik tersebut.

     Memang benar...tiada satu pun tanda menunjukkan panggilan telefon boleh dibuat. Saya tidak percaya. Saya pun bergerak perlahan-lahan ke arah pintu utama pagar klinik sambil mata terus mengamati skrin handphone nokia, satu-satunya yang saya miliki. Sambil melangkah perlahan-lahan, saya juga menghalakan handphone ke pelbagai arah…harap-harap dapat rangkaian.

     Saya sudah berada di hadapan pintu utama klinik. Rasanya, jika di kawasan itu pun saya tidak mendapati adanya rangkaian telefon, bermakna memang benarlah di kawasan itu memang tidak ada langsung rangkaian telefon. Dan saya akan berpuas hati.

     Sambil melangkah perlahan-lahan, Saya mengangkat telefon lebih tinggi. Di hala ke utara, selatan, timbur dan barat. Kosong! Geram kerana masalah itu saya menghalakan handphone ke langit. Nah! Kali ini berjaya. Full pula line kalau begini! Saya bercakap sendiri. Tapi selepas melangkah selangkah, line lenyap 100%. Mungkinkah kerana saya perlu mundur selangkah semula? Saya mundur..benar bar line penuh…4 line!

     Ingin memastikan keistimewaa kedudukan saya ketika itu, saya membuat langkahan ke kiri, ke kanan dan ke belakang. Sambil kepala mendongak melihat handphone. Pelik bin ajaib, apabila saya membuat perubahan kedudukan selangkah ke kiri, ke kanan atau ke belakang, bar line akan terus hilang. Oleh itu saya pun kembali ke kedudukan full bar line tadi. Dalam fikiran saya tertanya-tanya mengapakah tempat saya berdiri ketika itu amat istimewa?

     Saya cuba melihat sekitar , tidak ada satu petunjuk yang boleh saya jadikan alasan mengapa tempat berdiri saya itu luar biasa.  Saya pun cuba untuk mencari jawapan dengan melihat ke bawah. Melihat kaki yang berpijak ke bumi. Astagfirullah……..dan saya ketawa sendiri.
Rupa-rupanya saya sedang berdiri …ngam-ngam di tepat di mana tertompoknya tahi lembu yang masih baru dan basah. Nasib baik saya memakai kasut kulit ketika itu.

CATATAN DARI SEORANG TEMAN


Alangkah indahnya
Sinar mentari yang menguning
Mencelah pepohon kasih
Membelah samar senja yang hampir berakhir
Selepas siang redup diselubung gelap awan dingin
Nun, di kejauhan kaki langit
Pasangan camar menyanyi bersahutan
Diiring nada rindu riak laut yang setia
Berpaut beralun berkejaran
Mengharap menerpa pantai sebelum malam
Alangkah bahagianya
Andai indah senja ini akan selamanya
Begini dan di sini
......
     .......
           Ah...mengapa kelopak mataku basah?

HEBATNYA SEBUAH KENANGAN.

Sekonyong-konyong
bagai disambar taufan
aku terlayang
tinggi...
jauh...
lalu dilepas jatuh di menara rindu

hebatnya
sebuah kenangan
bisa saja mencambah kasih
meski sudah berpuluh tahun
lamanya
tertimbus di dasar lautan masa

KENA MELUTUT JUGALAH...

( sambungan Malunya Disembunyikan )

Dia hanya melemparkan senyuman.
"Melayan malu dalam situasi begini hanya menyusahkan diri sendiri sahaja," hati kecilnya berkata.
"Ah, pedulilah. Yang penting, aku akan rasa selesa selepas ini." Cikgu R nekad.
Hook seluar dibuka. Zip diturunkan.
"Kalau basah, ganti sahajalah dengan seluar yang ada," Cikgu R sendiri tetapi dengan nada suara yang jelas.
Dia mahu semua penumpang yang ada di belakang bot nelayan itu dengar.
"Biar nampak gentleman sikit," bisiknya lagi.
"Cuurrrrrr.....rrrrrrrrr......rrrrrr.....rrrrrrrr..."
 "Ah, syukurlah dah selamat."

"Terima kasih pakcik. Bimbang juga tadi. Susah juga kalau 'permintaan' terpaksa ditunaikan di tengah lautan ni. Kena melutut juga kita dibuatnya," gurau Cikgu R.
"Macamana rasa sekarang sigu? Sudah ringan?" Pakcik Asmara bertanya.
Cikgu R tahu pertanyaan itu adalah gurauan sahaja.
"Barulah boleh duduk selesa pakcik. Fikiran pun tidak terganggu lagi," dia menjawab dan kemudian ketawa panjang.
Semua penumpang turut ketawa.
"Cikgu, kita baru hari ini jumpa dan kenal tapi kita sudah macam biasa betul sudah," kata seorang ibu yang ada bersama dalam bot itu.
"Kalau begini, cikgu tidak susahlah mahu hidup di mana cikgu pergi," sambung seorang lagi wanita  separuh umur.
"Makcik, saya harap saya akan jadi benih yang baik. Kalau dicampakkan ke laut pun akan menjadi pulau. Akan berguna kepada sesiapa sahaja. Akan disenangi di mana saya berada." Cikgu R menjawab.
"Anduu...hapna atei cigu tuuu," wanita lain pula menjawab dengan menggunakan bahasa ibunda mereka.
Kemudian kelihatan yang lain juga seperti mengiakan.
Entah apa yang dimaksudkan oleh mereka Cikgu R dan Cikgu K tidak memahaminya. Namun apa yang diperhatikan, mereka yakin bahawa nampaknya hati mereka telah dicuit oleh gelagat Cikgu R.
"Nasib baik kau ada sama-sama kami dihantar ke Pulau Banggi. Tengok, terhibur juga semua penumpang." Cikgu K berbisik kepada Cikgu R.
"Ini pun kerana kamu ada bersama-sama saya, kalau tidak entah apa yang akan saya buat," katanya memujuk.
"Tapi, kalaulah kau yang mengalami situasi buang air kecil sambil melutut di ekor bot ini, tentu kau dapat rasa betapa tebalnya muka saya sebentar tadi." Cikgu R cuba memberitahu sahabat karibnya itu tentang perasaan ysebenar yang dirasainya.
"Malu juga tapi mahu buat macamana? No way!" Dia berkata dengan nada agak perlahan.
Sambil itu dia  melukiskan apa-apa gambar menggunakan jarinya di atas lantai belakang bot nelayan itu. Sengaja supaya penumpang lain tidak mengetahui apa yang diperkatakannya.
"Terpaksalah tidak bersuci juga, kan?" Cikgu K ketawa sinis.
"Nantilah, sampai di pulau tu. Ini dikira hukum darurat juga ni" dia cuba mempertahankan dirinya.
"Ada pula hukum darurat kalau di tengah lautan ya?" Cikgu K berpura-pura tidak tahu.

"Kalau di padang pasir tu, percayalah saya," sambung Cikgu K lagi.
Cikgu R hanya mengangguk-angguk kepala sambil senyum ala P. Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, ketika kopi yang dibancuh oleh Belalang dikatakan sedap oleh orang sekampungnya.
"He, he, he." Cikgu R ketawa kecil.
Kemudian kedua-dua mereka ketawa.

Judul Cerpen akan datang -  Bermalam Di Rest House

TASIK BIRU.

Lelaki itu
masih berdiri di lereng kawah
tasik biru
tangannya menggenggam rapat
keinginan yang dirahsiakan
dia mahu
biar sendiri menyelam
sampai ke dasar
supaya tiada lagi
khabar berita yang menjadi tanda tanya
tentang gelap atau indah
dasar di kedalaman yang tidak diduga
nanti jika ada terdengar orang bercerita
dia tahu di mana benarnya
atau sudah cukup
dia mengenal antara manusia


 okieukio

JANGAN LUPA MAKAN MALAM.

Riak ombak berkejaran, bersepakat menjadi satu di hujung gigi air laut, berbisik lalu menerpa bibir pantai memutih yang kian berubah menjadi kuning. Sayup deru angin menyapa pepohon ru menambah sepi suasana waktu senja yang sunyi. Sebentar lagi, kekuningan ufuk barat itu pasti menjadi pudar diganti lembayung merah, petanda siang akan melabuhkan sauhnya.

“Akan menjadi malam jugakah hidupku?..”
“Drrrrrrrrd, drrrrrrrrd, drrrrrrrrd”, telefon bimbitnya bergetar.
Amril tersentak. Bisik hatinya terhenti. Telefon bimbit yang diletakkan di sisinya segera dicapai. Skrin telefon bimbit diamatinya. Tertulis ayat ‘1 mesej diterima’.
“Thank you”, bisik Amril.
Air mukanya berubah. Wajah Amril bertukar menjadi lebih gembira berbanding sebentar tadi. Pantas ibu jarinya menekan butang telefon bimbit, membuka mesej yang diterima. Dia berdoa meminta supaya mesej itu datang dari orang yang dirinduinya, Nabilah.
“Ha, ha,ha,ha,ha…..”, dia ketawa.
Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke kaki langit yang sudah semakin pekat merahnya.
“Subhanallah…subhanallah….subhanallah….” Dia mengucap tasbih, bersyukur.
Sambil menarik nafas lega dia membaca semula ayat yang dikirimkan kepadanya.
‘abg jgn risau la, wlu ramai yg menagih cnta dr syg, dlm ati syg cme ade sorang je (abg).’

Gembira hatinya bukan kepalang. Mahu sahaja dia melaungkan pada pantai atau senja sekuat hatinya untuk memberitahu betapa orang yang dirindui mencintai dirinya sepenuh hati.
“Alhamdulillah….” Dia berasa amat puas.
“Assalamu ‘alaikum!”
Tiba-tiba saja Amril terdengar salam.
“Eh! mak..eer dari mana…eer.. wa’alaikum salaam,” jawab Amril.
Nadanya lebih lembut dan lebih perlahan.
“Ambooi, hingga tak sedar mak sampai. Nih, mak terdengar tadi Amril bertasbih. Ada apa-apakah ni…,” tanya makcik Liza, ibu angkat cikgu Amril.
“Hingga nak jawab pertanyaan emak pun tergagap-gagap. Tentu ada sesuatu ni?” Sambung Makcik Liza.
“eer…yakah mak?” Tanya Amril.
“Eleh, ingat aku ni dah tua sangatkah?” Makcik Liza berkata lembut.
Kemudian meletakkan lauk kesukaan Amril di depan pintu.

“Wah, cantik juga bekas ni mak. Di kampung asal Amril, bekas begini dinamakan ‘arikan’. Digunakan untuk menyimpan bekal kalau ke kebun. Ini bekal jugakah mak?” Amril bertanya sambil menyentuh bekas itu.
Hangat.
“Iyalah! Malam ni Amril tak payah susah-susah nak masak lagi. Kebetulan waktu pun dah nak gelap. Tabiat engkau tu bukan mak tak tau. Mak dah kenal. Kalau waktu begini belum masak memang tak makan malamlah ceritanya.” Makcik Liza menjawab.
“Hai, mak ni. Sekali Amril cakap panjang sikit memang mak akan cakap lebih panjang.” Amril berjenaka dan menyusun sepuluh jarinya sambil memandang Makcik Liza.
“Ha, kalau tak mau mak berleter lagi, cepat ambil lauk dan nasi yang mak bawakan ni. Tapi, waktu maghrib dah tiba. Sembahyang dulu lepas tu baru makan malam. Ingat tu?” Pesan Makcik Liza.
“Ok, mak tapi jari telunjuk mak tu …. Amarankah mak?” Amril berjenaka lagi.
“Amaran tak amaran, apa yang mak kata jangan nak bangkang. Mak balik dulu. Jangan lupa, makan selepas sholat maghrib,” tegas Makcik Liza sambil melangkah balik ke rumahnya.
Amril tahu, tegas macamana pun ayat yang dilafazkan oleh emak angkatnya itu dia tetap tak berasa rimas kerana nada suara Makcik Liza lembut dan halus. Makcik Liza bukan orang yang garang.
“Yes, Mum!” Dia menjawab kemudian bergerak ke dapur membawa bekas yang berisi lauk dan nasi untuk makan malamnya.
Kelihatan juga ibu jarinya menekan pantas butang telefon bimbit jenama Nokia, membalas sms.
‘ABG DI TEMPAT BIASA. RUMAH TEPI PANTAI!’
“Untung dapat emak sebaik emak ni,” hati kecilnya berkata.
“Kalau ada Nabila di sini tentu dia juga suka dengan mak.” Bisiknya.
“Abang jangan tak makan nanti perut tu masuk angin. Sebelum tidur jangan lupa minum susu suam.” Tiba-tiba pula Amril teringat pesan Nabila.
Gadis seberang yang sentiasa dirinduinya.
“Sayang, malam ni tak usah nak bimbangkan abang. Pasti abang akan makan malam,” katanya lagi sambil menarik nafas, menghidu bau masakan yang digemarinya itu.
“Tapi susu suam tu..aah, ganti kopi sajalah. Ini bukan rumah abang.” Amril berkata seolah-olah Nabila ada di depannya.

Esok hari terakhir dia di rumah yang ditumpanginya. Rumah lama Makcik Liza. Di sinilah dia akan pergi apabila dia inginkan ketenangan. Di rumah itulah dia mendapat kedamaian buat seketika. Esok, entah bagaimana? Kadang-kadang dia sendiri tertanya-tanya, benarkah dia tidak bahagia. Yang pasti, dia sudah kerap ke rumah itu, menghabiskan masa dan berehat pada waktu siang. Malamnya pula dihabiskan dengan bersendirian di tepi pantai sambil menikmati keindahan pantai yang disirami sinar bulan.
‘Abg balik kg ea? Orang lain ke pantai waktu siang, abg pula waktu malam. Nak jadi kacang hantu ker? Setahu Syg, kalau abg ada msalah pasti abg ke pantai. Abg ada masalah apa ni?’ Amril menerima sms lagi.
Seperti biasa, sebaik insan yang dikasihinya tahu dia ada di tepi pantai atau bercerita tentang pantai, pasti ayat itulah yang dikirimkan kepadanya.
Amril meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dapur kemudian melangkah ke kamar mandi. Tidak menjawab sms yang baru diterima.
“Nak ambil wudhu dulu,” katanya.

(…bersambung)

MALUNYA DISEMBUNYIKAN.

(sambungan)

Dia rimas. Dilihatnya pulau yang hendak dituju masih kelihatan kehijauan.
"Ah, masih jauh lagi," Cikgu R merungut.
"Alamat pecah pundi kecing ni nanti," bisik hati kecilnya.
Hentakan bot di atas permukaan air menambah sakit yang 'ditanggungnya'.
"Pakcik, tolong pegang tali ini." Cikgu R nekad.
"Saya ikatkan dipinggang kemudian pakcik tolong pegang ya?" Dia menghulurkan hujung tali bot itu kepada Pakcik Asmara.
"Pegang betul-betul tau pakcik. Kalau tidak, jatuh ke laut saya nanti." Cikgu R merayu.
Terpaksa.
"Yalah sigu. Ha, pigilah kau siram laut tu. Hehehe...!" Pakcik Asmara berjenaka sambil melilitkan tali bot yang dihulur tadi di kaki dan tangannya.
Cikgu R tunduk seketika kemudian ketawa kecil. Penumpang-penumpang lain turut ketawa.
"Minta maaf ya, yang lain-lain tu jangan pandang belakang tau!" Cikgu R merayu lagi.
Malunya disembunyikan. Keadaan tidak mengizinkan lagi untuk dia membuat jenaka.
"Apa yang mau malu-malu sigu?" Kata seorang penumpang perempuan separuh umur.
"aah...aah........

(bersambung)

LUBANG ITU PUN KECIL.

50 minit kemudian.....(sambungan)

"Alamak, saya mahu buang air kecillah."  Bisik Cikgu R kepada rakannya.
"Macamana ni, di mana mahu buang? Macamana?" Cikgu R semakin rimas.
Hendak ditahan, tidak boleh.
"Pancut sajalah ke laut."  Bisik Cikgu K.
"Gila kau, orang ramai ni. Berdiri atau duduk pun mereka nampak juga," Cikgu R cuba memberi alasan.
Sebenarnya dia ingin tahu lebih lanjut bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang dia sedang hadapi ketika itu.
"Well, hendak seribu daya." Cikgu K mengangkat keningnya.
"Kenapa tu sigu. Macam ada masalah saja?" Pakcik Asmara bertanya.
Cikgu R seba salah. Hendak beritahu terasa malu. Tidak memberi tahu, alamat basahlah seluar nanti.
"Eer, saya mahu kencing bah pakcik tapi..eer.. tapi macamana ya? Tiada tandas." Cikgu R memberitahu masalahnya.
"Kencing saja bah di bahagian ekor bot tu. Ada lubang tu, buang sajalah dari sana." Kata Pakcik Asmara.
"Eh, dalam keadaan terbuka begini..aduh, mati saya." Bisik hati Cikgu R.
"Pakcik, macamana ni, pakai seluar panjang begini sukar mau buang air kecil. Silap-silap bila bot bergoyang habis seluar saya basah nanti. Kencing melutut pula tu." Cikgu R cuba menjelaskan lagi masalahnya.
"Lubang itu pun kecil." Tambahnya lagi.

...bersambung

NDA' SUDAH RASA LAMA.

....sambungan)

“Mari, pindah ke bahagian belakang bot. Sengsara di depan ni. Hentakan kuat.” Cikgu R memberi cadangan sambil cuba berdiri perlahan-lahan. Kemudian melangkah bagai orang kurang upaya ke bahagian belakang bot melalui tepi bot yang selamat.
Cikgu K juga berdiri dan mengekori Cikgu R, rakan rapatnya sewaktu sama-sama di maktab perguruan.
“Alamak…rupanya di sini lagi ramai,” bisiknya kepada cikgu K.
“Nah, itulah kau mau pindah lagi!” Cikgu K kurang berpuas hati.
“Hentam sajalah,” Cikgu K menyenangkan hatinya sendiri.
“Minta maaf banyak-banyak tuan haji, pakcik, makcik. Nda tahan duduk di depan. Hentak-hentak. Tulang punggung dan pinggang sakit.” Cikgu R cuba menjelaskan kepada semua penumpang mengapa mereka pindah ke bahagian belakang sebaik sahaja mereka telah duduk.
“Orang muda pun sudah sakit pinggangkah…aah…”
“Saya Ramli. Dia Khasrin. Kami guru yang ditugaskan di sekolah di Pulau Banggi.” Cikgu R memperkenalkan diri dan rakannya.
“oooh, cikgu rupanya.”  Seorang lelaki berusia sekitar 60-an menghulurkan tangan.
Cikgu R segera menyambut salam pakcik itu dan menciumnya.
“Alouu rayang, malingkat  na  adab sigu lu!” Kedengaran satu suara dari bahagian bot yang berbumbung.
“Pote’ na ah’?” Seorang ibu separuh umur pula berkata.
Cikgu R tidak tahu apa yang diperkatakan oleh wanita itu. Dia Cuma senyum sahaja sambil memandang kea rah wanita tadi. Bagaimanapun, dia cuba untuk memahaminya dengan melihat gelagat wanita itu yang melihat kulit tangannya.
“Minta maaf makcik. Bahasa apa yang makcik cakap tadi tu? Tanya Cikgu R.
“Bahasa Suluk, Sigu.” Wanita itu menjelaskan.
Entah benar atau tidak dia tidak tahu tapi apabila dia melihat wajah wanita itu, Cikgu R akur.
“Dia ini orang baik,” bisik hatinya.
“Maksudnya?” Cikgu R inginkan kepastian.
“Bilangku tadi, sigu ini putih. Kulitmu putih bah tidak macam kulit kami.” Wanita itu member tahu.
“Tapi kenapa saya dengar makcik sebut pendek saja?” Cikgu R bertanya sambil berjenaka.
“Kalau bahasa Suluk, begitulah,” sambung wanita itu.
Cikgu R mengangguk. Cikgu K juga mengangguk.
Kemudian perbualan antara cikgu R dengan penumpang yang lain pun mula rancak.

“Pakcik, berapa lama lagi bot ni mau sampai di pulau tu?” Cikgu R bertanya kepada seorang lelaki yang sudah berumur.
“Sakaaajap lagi sampailah kita, Sigu.” Katanya.
“Macam sini-sini juga kita ni pakcik?” Tanya Cikgu R.
“Hehehe..kalau mula-mula pigi Banggi memang begitu, Sigu. Tapi kalau sudah biasa…macam nda’ ada sudah. Nda’ sudah rasa lama.”  Pakcik itu menenangkan fikiran Cikgu R.
Kemudian Cikgu R mengenalinya sebagai Pakcik Asmara.

50minit kemudian………..

KECIK..NDA' NGAM.........!


      Ruang kaki lima kedai runcit Chen Chong yang terhad itu bertambah sempit dengan kehadiran orang yang lalu-lalang. Para penjual rokok tanpa cukai pula bebas duduk berjualan di setiap penjuru kaki lima bertengkar sesama mereka. Penjual ikan yang bergerak pantas di celah-celah orang ramai dan kenderaan yang bergerak perlahan, melaung dan memujuk orang ramai membeli ikan yang dijajanya. Sesekali kelihatan di antara mereka menimbang ikan menggunakan alat timbang tanpa kelulusan. Sungguhpun telah berlaku berat ikan yang dijual tidak pernah cukup, mereka masih juga menggunakannya dan pihak jawatankuasa perbandaran seperti tidak mempunyai kuasa untuk membenteras gejala ini.

     Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi.  Ruang kaki lima bertambah sibuk. Konduktor bas mini dan pemandu-pemandu teksi bersilih ganti memujuk orang ramai yang ada di sekitar itu untuk pulang menaiki bas atau teksi mereka dengan kata-kata bahawa mereka akan bergerak satu minit sahaja lagi. Dan seperti biasa, mereka akan hanya bergerak selepas bas atau teksi mereka dipenuhi penumpang. Melihat karenah penjual ikan, konduktor bas, pemandu teksi dan orang ramai yang berbagai itu menjadikan saya bertambah letih lalu mengambil keputusan untuk duduk berehat di bahu lantai kedai buat seketika.

     Tiba-tiba kedengaran suara kanak-kanak menangis dengan kuat tidak jauh dari tempat saya duduk berehat. Bunyi bingit dari suara nyaring kanak-kanak itu menarik perhatian siapa sahaja yang lalu lalang di situ. Begitu juga saya dan seorang lagi  lelaki separuh umur yang baru sampai di tempat itu. Bezanya, lelaki yang dimaksudkan tadi segera mendatangi seorang lelaki dan bertanyakan hal mengapa anak lelaki tersebut menangis sehingga seperti ‘kerasukan’.

     Nampaknya, ayah kepada budak itu adalah juga rakan lelaki yang baru tiba tadi. Dia segera memberitahu bahawa anaknya menangis kerana minta dibelikan basikal yang ada dijual di kedai itu.

“Oooh!” Kata lelaki separuh umur itu sebaik sahaja mendapat tahu sebab anak rakannya itu menangis.
“Kesian…kesian betul,” katanya sambil mengosok-gosok manja kepala anak rakannya itu.
Terasa kepalanya dibelai, anak kecil tersebut berhenti menangis.
“Kalau saya bapa dia…,” dia berhenti seketika sambil menuding ke satu arah.
Anak rakannya membuka mulut, suka. Kemudian melihat ke muka ayahnya dengan gembira’
“Kesian bah ini anak…kalau saya bapanya, saya kasi beli bah dia tapi saya tidak mau kasi beli yang ini. Ini…kecik..nda’ ngam sama dia.. kalau saya…tuuuu!, Yang besar tu yang saya kasi beli. Bah saya jalan dulu,” kata lelaki separuh umur itu kemudian segera meninggalkan rakannya.
“Waaaa.... mau yang itu… mau yang itu. Waaa..aaa.waaa..,” anak itu tiba-tiba menangis semula sambil menghentak-hentakkan kakinya.
Kali ini suaranya lebih kuat dan nyaring.
“Celaka punya kawan!” Ayak budak itu berkata perlahan tetapi cukup kecewa.
Hatinya semakin sakit apabila melihat rakannya yang baru beredar tadi melangkah pergi sambil ketawa mengejek.

Tolong Pegang Tali Ini....

TOLONG PEGANG TALI INI….
“Eh, bot ni macam tidak bergerak ke mana-manalah. Tengok tepi pantai sana, tanah merah kuning bukit itu masih juga nampak begitu. Walhal kita sudah berlayar selama 1 jam.” Cikgu R berkata kepada rakannya Cikgu K.
“Hehehehe!” Cikgu K ketawa.
“Berapa lama kita di tengah laut ni aah? Tanya Cikgu K.
“Entahlah…pulau tu pun macam begitu juga. Besar tidak besar. Tidak berubah langsung saiz dia.” Cikgu R menuding telunjuknya ke arah Pulau Banggi.
Mereka sama-sama melihat Pulau Banggi yang masih berwarna kebiru-biruanhijau kebiruan itu.
“Memang masih jauh lagilah.” Bisik Cikgu R kepada Cikgu K.
Cikgu K mengangguk. Mengiakan.
“R, kalau macam inilah…habis umur kita dalam perjalanan saja.” Cikgu K menguis tangan Cikgu R.
“Kau tengok betul-betul orang yang ada dalam bot ni. Cuba kau anggarkan berapa tahun umur mereka habis dalam perjalanan di tengah laut ni?” Cikgu K menjeling seketika ke arah penumpang yang ada bersama mereka, member isyarat kepada Cikgu R.
Mereka berpandangan kemudian ketawa kecil bersama-sama.

“Adui!” Tiba-tiba Cikgu R mengadu.
Punggungnya terasa sakit . Bot yang mereka tumpangi melanggar ombak yang agak tinggi tadi.
..........................(.bersambung esok)