Pages

Friday, 18 February 2011

JANGAN LUPA MAKAN MALAM.

Riak ombak berkejaran, bersepakat menjadi satu di hujung gigi air laut, berbisik lalu menerpa bibir pantai memutih yang kian berubah menjadi kuning. Sayup deru angin menyapa pepohon ru menambah sepi suasana waktu senja yang sunyi. Sebentar lagi, kekuningan ufuk barat itu pasti menjadi pudar diganti lembayung merah, petanda siang akan melabuhkan sauhnya.

“Akan menjadi malam jugakah hidupku?..”
“Drrrrrrrrd, drrrrrrrrd, drrrrrrrrd”, telefon bimbitnya bergetar.
Amril tersentak. Bisik hatinya terhenti. Telefon bimbit yang diletakkan di sisinya segera dicapai. Skrin telefon bimbit diamatinya. Tertulis ayat ‘1 mesej diterima’.
“Thank you”, bisik Amril.
Air mukanya berubah. Wajah Amril bertukar menjadi lebih gembira berbanding sebentar tadi. Pantas ibu jarinya menekan butang telefon bimbit, membuka mesej yang diterima. Dia berdoa meminta supaya mesej itu datang dari orang yang dirinduinya, Nabilah.
“Ha, ha,ha,ha,ha…..”, dia ketawa.
Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke kaki langit yang sudah semakin pekat merahnya.
“Subhanallah…subhanallah….subhanallah….” Dia mengucap tasbih, bersyukur.
Sambil menarik nafas lega dia membaca semula ayat yang dikirimkan kepadanya.
‘abg jgn risau la, wlu ramai yg menagih cnta dr syg, dlm ati syg cme ade sorang je (abg).’

Gembira hatinya bukan kepalang. Mahu sahaja dia melaungkan pada pantai atau senja sekuat hatinya untuk memberitahu betapa orang yang dirindui mencintai dirinya sepenuh hati.
“Alhamdulillah….” Dia berasa amat puas.
“Assalamu ‘alaikum!”
Tiba-tiba saja Amril terdengar salam.
“Eh! mak..eer dari mana…eer.. wa’alaikum salaam,” jawab Amril.
Nadanya lebih lembut dan lebih perlahan.
“Ambooi, hingga tak sedar mak sampai. Nih, mak terdengar tadi Amril bertasbih. Ada apa-apakah ni…,” tanya makcik Liza, ibu angkat cikgu Amril.
“Hingga nak jawab pertanyaan emak pun tergagap-gagap. Tentu ada sesuatu ni?” Sambung Makcik Liza.
“eer…yakah mak?” Tanya Amril.
“Eleh, ingat aku ni dah tua sangatkah?” Makcik Liza berkata lembut.
Kemudian meletakkan lauk kesukaan Amril di depan pintu.

“Wah, cantik juga bekas ni mak. Di kampung asal Amril, bekas begini dinamakan ‘arikan’. Digunakan untuk menyimpan bekal kalau ke kebun. Ini bekal jugakah mak?” Amril bertanya sambil menyentuh bekas itu.
Hangat.
“Iyalah! Malam ni Amril tak payah susah-susah nak masak lagi. Kebetulan waktu pun dah nak gelap. Tabiat engkau tu bukan mak tak tau. Mak dah kenal. Kalau waktu begini belum masak memang tak makan malamlah ceritanya.” Makcik Liza menjawab.
“Hai, mak ni. Sekali Amril cakap panjang sikit memang mak akan cakap lebih panjang.” Amril berjenaka dan menyusun sepuluh jarinya sambil memandang Makcik Liza.
“Ha, kalau tak mau mak berleter lagi, cepat ambil lauk dan nasi yang mak bawakan ni. Tapi, waktu maghrib dah tiba. Sembahyang dulu lepas tu baru makan malam. Ingat tu?” Pesan Makcik Liza.
“Ok, mak tapi jari telunjuk mak tu …. Amarankah mak?” Amril berjenaka lagi.
“Amaran tak amaran, apa yang mak kata jangan nak bangkang. Mak balik dulu. Jangan lupa, makan selepas sholat maghrib,” tegas Makcik Liza sambil melangkah balik ke rumahnya.
Amril tahu, tegas macamana pun ayat yang dilafazkan oleh emak angkatnya itu dia tetap tak berasa rimas kerana nada suara Makcik Liza lembut dan halus. Makcik Liza bukan orang yang garang.
“Yes, Mum!” Dia menjawab kemudian bergerak ke dapur membawa bekas yang berisi lauk dan nasi untuk makan malamnya.
Kelihatan juga ibu jarinya menekan pantas butang telefon bimbit jenama Nokia, membalas sms.
‘ABG DI TEMPAT BIASA. RUMAH TEPI PANTAI!’
“Untung dapat emak sebaik emak ni,” hati kecilnya berkata.
“Kalau ada Nabila di sini tentu dia juga suka dengan mak.” Bisiknya.
“Abang jangan tak makan nanti perut tu masuk angin. Sebelum tidur jangan lupa minum susu suam.” Tiba-tiba pula Amril teringat pesan Nabila.
Gadis seberang yang sentiasa dirinduinya.
“Sayang, malam ni tak usah nak bimbangkan abang. Pasti abang akan makan malam,” katanya lagi sambil menarik nafas, menghidu bau masakan yang digemarinya itu.
“Tapi susu suam tu..aah, ganti kopi sajalah. Ini bukan rumah abang.” Amril berkata seolah-olah Nabila ada di depannya.

Esok hari terakhir dia di rumah yang ditumpanginya. Rumah lama Makcik Liza. Di sinilah dia akan pergi apabila dia inginkan ketenangan. Di rumah itulah dia mendapat kedamaian buat seketika. Esok, entah bagaimana? Kadang-kadang dia sendiri tertanya-tanya, benarkah dia tidak bahagia. Yang pasti, dia sudah kerap ke rumah itu, menghabiskan masa dan berehat pada waktu siang. Malamnya pula dihabiskan dengan bersendirian di tepi pantai sambil menikmati keindahan pantai yang disirami sinar bulan.
‘Abg balik kg ea? Orang lain ke pantai waktu siang, abg pula waktu malam. Nak jadi kacang hantu ker? Setahu Syg, kalau abg ada msalah pasti abg ke pantai. Abg ada masalah apa ni?’ Amril menerima sms lagi.
Seperti biasa, sebaik insan yang dikasihinya tahu dia ada di tepi pantai atau bercerita tentang pantai, pasti ayat itulah yang dikirimkan kepadanya.
Amril meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dapur kemudian melangkah ke kamar mandi. Tidak menjawab sms yang baru diterima.
“Nak ambil wudhu dulu,” katanya.

(…bersambung)

No comments: