Pages

Friday, 18 February 2011

KECIK..NDA' NGAM.........!


      Ruang kaki lima kedai runcit Chen Chong yang terhad itu bertambah sempit dengan kehadiran orang yang lalu-lalang. Para penjual rokok tanpa cukai pula bebas duduk berjualan di setiap penjuru kaki lima bertengkar sesama mereka. Penjual ikan yang bergerak pantas di celah-celah orang ramai dan kenderaan yang bergerak perlahan, melaung dan memujuk orang ramai membeli ikan yang dijajanya. Sesekali kelihatan di antara mereka menimbang ikan menggunakan alat timbang tanpa kelulusan. Sungguhpun telah berlaku berat ikan yang dijual tidak pernah cukup, mereka masih juga menggunakannya dan pihak jawatankuasa perbandaran seperti tidak mempunyai kuasa untuk membenteras gejala ini.

     Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi.  Ruang kaki lima bertambah sibuk. Konduktor bas mini dan pemandu-pemandu teksi bersilih ganti memujuk orang ramai yang ada di sekitar itu untuk pulang menaiki bas atau teksi mereka dengan kata-kata bahawa mereka akan bergerak satu minit sahaja lagi. Dan seperti biasa, mereka akan hanya bergerak selepas bas atau teksi mereka dipenuhi penumpang. Melihat karenah penjual ikan, konduktor bas, pemandu teksi dan orang ramai yang berbagai itu menjadikan saya bertambah letih lalu mengambil keputusan untuk duduk berehat di bahu lantai kedai buat seketika.

     Tiba-tiba kedengaran suara kanak-kanak menangis dengan kuat tidak jauh dari tempat saya duduk berehat. Bunyi bingit dari suara nyaring kanak-kanak itu menarik perhatian siapa sahaja yang lalu lalang di situ. Begitu juga saya dan seorang lagi  lelaki separuh umur yang baru sampai di tempat itu. Bezanya, lelaki yang dimaksudkan tadi segera mendatangi seorang lelaki dan bertanyakan hal mengapa anak lelaki tersebut menangis sehingga seperti ‘kerasukan’.

     Nampaknya, ayah kepada budak itu adalah juga rakan lelaki yang baru tiba tadi. Dia segera memberitahu bahawa anaknya menangis kerana minta dibelikan basikal yang ada dijual di kedai itu.

“Oooh!” Kata lelaki separuh umur itu sebaik sahaja mendapat tahu sebab anak rakannya itu menangis.
“Kesian…kesian betul,” katanya sambil mengosok-gosok manja kepala anak rakannya itu.
Terasa kepalanya dibelai, anak kecil tersebut berhenti menangis.
“Kalau saya bapa dia…,” dia berhenti seketika sambil menuding ke satu arah.
Anak rakannya membuka mulut, suka. Kemudian melihat ke muka ayahnya dengan gembira’
“Kesian bah ini anak…kalau saya bapanya, saya kasi beli bah dia tapi saya tidak mau kasi beli yang ini. Ini…kecik..nda’ ngam sama dia.. kalau saya…tuuuu!, Yang besar tu yang saya kasi beli. Bah saya jalan dulu,” kata lelaki separuh umur itu kemudian segera meninggalkan rakannya.
“Waaaa.... mau yang itu… mau yang itu. Waaa..aaa.waaa..,” anak itu tiba-tiba menangis semula sambil menghentak-hentakkan kakinya.
Kali ini suaranya lebih kuat dan nyaring.
“Celaka punya kawan!” Ayak budak itu berkata perlahan tetapi cukup kecewa.
Hatinya semakin sakit apabila melihat rakannya yang baru beredar tadi melangkah pergi sambil ketawa mengejek.

No comments: