Pages

Friday, 18 February 2011

NASIB BAIKLAH SAYA MEMAKAI KASUT KULIT..

Pagi itu saya perlu membuat panggilan telefon dengan segera. Tidaklah penting tapi hanya untuk membuktikan bahawa saya tidak lupakan dia, isteri yang berseorangan di rumah.
     Bagaimanapun, skrin handphone menjelaskan bahawa di kawasan itu sukar untuk mendapat rangkaian celcom. Saya tidak berputus asa. Saya turun ke tanah dan berjalan-jalan di sekitar halaman rumah kerajaan yang dikhaskan untuk para jururawat desa yang bertugas di klinik tersebut.

     Memang benar...tiada satu pun tanda menunjukkan panggilan telefon boleh dibuat. Saya tidak percaya. Saya pun bergerak perlahan-lahan ke arah pintu utama pagar klinik sambil mata terus mengamati skrin handphone nokia, satu-satunya yang saya miliki. Sambil melangkah perlahan-lahan, saya juga menghalakan handphone ke pelbagai arah…harap-harap dapat rangkaian.

     Saya sudah berada di hadapan pintu utama klinik. Rasanya, jika di kawasan itu pun saya tidak mendapati adanya rangkaian telefon, bermakna memang benarlah di kawasan itu memang tidak ada langsung rangkaian telefon. Dan saya akan berpuas hati.

     Sambil melangkah perlahan-lahan, Saya mengangkat telefon lebih tinggi. Di hala ke utara, selatan, timbur dan barat. Kosong! Geram kerana masalah itu saya menghalakan handphone ke langit. Nah! Kali ini berjaya. Full pula line kalau begini! Saya bercakap sendiri. Tapi selepas melangkah selangkah, line lenyap 100%. Mungkinkah kerana saya perlu mundur selangkah semula? Saya mundur..benar bar line penuh…4 line!

     Ingin memastikan keistimewaa kedudukan saya ketika itu, saya membuat langkahan ke kiri, ke kanan dan ke belakang. Sambil kepala mendongak melihat handphone. Pelik bin ajaib, apabila saya membuat perubahan kedudukan selangkah ke kiri, ke kanan atau ke belakang, bar line akan terus hilang. Oleh itu saya pun kembali ke kedudukan full bar line tadi. Dalam fikiran saya tertanya-tanya mengapakah tempat saya berdiri ketika itu amat istimewa?

     Saya cuba melihat sekitar , tidak ada satu petunjuk yang boleh saya jadikan alasan mengapa tempat berdiri saya itu luar biasa.  Saya pun cuba untuk mencari jawapan dengan melihat ke bawah. Melihat kaki yang berpijak ke bumi. Astagfirullah……..dan saya ketawa sendiri.
Rupa-rupanya saya sedang berdiri …ngam-ngam di tepat di mana tertompoknya tahi lembu yang masih baru dan basah. Nasib baik saya memakai kasut kulit ketika itu.

No comments: