Pages

Thursday, 17 March 2011

Salah Siapa 2 : APA YANG AKU SUDAH BUAT?


3 hari selepas itu

“Emmm.. Najwa, mana Idah? Sudah tiga hari dia tidak dating ke sekolah,” Tanya Cikgu  R.
“Tak tahu cikgu. Manalah saya tahu kenapa dia tidak datang ke sekolah, cikgu.” Jawab Najwa.
Dari pandangan matanya, jelas dia masih berasa marah dengan Cikgu R.
“Eh, awakkan kawan karib dia. Macamana awak kata awak tak tahu?” Cikgu R berusha untuk mengetahui hal sebenar.
Dia yakin yang Najwa pasti tahu kenapa Idah tidak hadir selama tiga hari berturut-turut.
“Cikgu, apalah yang saya tahu. Tapi...tapi mungkin dia sakit cikgu,” jawab Najwa.
“Sakit?” Cikgu R terperanjat.
Dia berdiri dan berjalan ke arah Najwa.
“Sakit apa dia?” Tanya Cikgu R.
“Saya agak-agak saja cikgu. Hal sebenar saya tidak tahu.” Najwa  member tahu Cikgu R.
“Mungkin dia masih terasa sakit pada pipinya itu,” sambung Najwa.
“Oh! Awak sindir cikgu, ya? Cikgu R pura-pura bertanya.
Namun dalam otaknya memikirkan masalah yang sama juga. Mungkin sesuatu sudah  berlaku pada Idah.
“Tak apa. Cikgu akan siasat perkara ini. Cikgu nak tau mengapa dia tidak datang ke sekolah?”
“ Dia sudah layak diberi surat amaran pertama dengan tindakannya tidak hadir ke sekolah selama 3 hari berturut-turut.”
 Dia memberitahu semua pelajar kelasnya sambil cuba memberi  peringatan kepada murid-murid yang hadir.
“Cikgu..cikgu pernah pergi ke rumah Idahkah?” Tanya Najwa.
“Ha, kenapa? Kenapa tiba-tiba tanya cikgu macam itu? Ingat cikgu ni tak boleh carikah rumah dia tu?” Cikgu R cuba mengelak daripada menjawab soalan Najwa.
“Kalau cikgu mahu ke rumah Idah, cikgu susuri sahaja jalan kecil di simpang kiri, di hujung jalan itu.”
Najwa memberitahu dan sambil itu menunjukkan arah kedudukan simpang itu dari dalam bilik darjah.
Jalan itu memang mudah dilihat dari bilik darjah kerana bangunan sekolah SK Karakit terletak di atas bukit yang diratakan. Jalan yang dimaksudkan oleh Najwa terletak di bawah lereng bukit itu dan dapat dilihat dari bilik darjah mereka.
“Cikgu tau!” Cikgu R menjawab ringkas.
“Jalan itu tidak pernah saya lalui. Mendengar cerita jalan itu akan menuju kea rah kawasan tanah rata yang luas. Kawasan Bendang. Namun jauh dari sini.” Bisik hatinya.

Keesokan harinya.

“Aduh, licin juga permatang sawah ni.” Cikgu R bercakap sendiri.
Sudah tiga kali dia tergelincir dari permatang sawah itu. Di hadapannya, entah berapa jauh permatang lagi perlu dilalui. Seluarnya telah kotor terkena lumpur. Demikian juga sebahagian bajunya. Kasutnya juga berlumpur dan basah. Sudah tiga kali terlepas dari tangnnya ketika dia tergelincir jatuh.
“Tadi terpaksa mengayuh basikal di jalan sempit. Sekarang melalui permatang licin pula. Betulkah aku ini mengikut jalan yang betul ke rumah Idah?”
Cikgu R mula mengeluh. Terasa benar dia betapa sukarnya hendak ke rumah Idah. Sesekali dia berasa kurang yakin bahawa jalan itu adalah jalan menuju ke rumah Idah.
“Fuuh!” Dia mengesat peluh di dahi yang sudah sedari tadi mengalir membasahi mukanya.
“Adakah basikal tua tadi itu milik Idah?” Cikgu R bertanya pada dirinya sendiri sambil menoleh ke belakang, melihat basikal tua yang disandarkan di sebatang pokok jambu batu, di tempat dia mula berjalan melangkah menyusuri permatang tadi.
“Ah, syukurlah. Aku sudah hampir sampai.” Cikgu R berasa lega.
Muka Cikgu R kelihatan sedikit gembira. Bagaimana pun persoalan baru mula timbul di fikirannya.
Dia tidak percaya dengn apa yang dilihatnya. Adakah petunjuk yang diberi oleh murid-murid di kampung itu benar. Atau adakah dia telah dipermainkan oleh anak-anak muridnya kerana sikapnya yang agak garang itu.
“Agaknya mereka mahu membalas dendam.  Kemudian sengaja memberi petunjuk yang salah supaya aku sengsara di sini?” Dia berfikir.
“Takkan ini rumah Idah,” dia berbisik.
Cikgu R semakin curiga melihat pondok yang kelihatan sudah mula usang yang semakin dihampirinya itu.
Dia berhenti seketika. Melihat bendang di sekelilingnya, seluas mata memandang. Kawat dawai berduri yang dipasang memisahkan antara pemilik bendang diperhatikannya juga.
“Tapi, mengapa Idah tinggal di sini… di tengah-tengah bendang yang luas ini?” Dahinya berkerut.
Kemudian meneruskan langkahnya menuju ke pondok itu.
“Kenapa tidak bina sahaja rumah di kawasan dekat dengan sekolah atau berhampiran dengan rumah orang-orang kampung di sini?” Persoalan demi persoalan timbul di kepalanya.
“Pondok ini terlalu jauh dari sekolah. Perlu jalan awal-awal pagi lagi. Lagi pun, pondok ini tidak selesa untuk tempat belajar sendiri di rumah.” Dia bercakap sendiri lagi.
Sambil itu dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Assalamualaikum!” Cikgu R memberi salam sebaik sahaja tiba di pondok itu.
“Assalamualaikum!” Dia mengulangi salam.
“Waalaikum salam, masuklah!” Kedengaran olehnya suara lembut dan kurang bermaya dari dalam pondok itu.
“Assalamualaikum makcik. Maafkan saya. Izinkan saya di luar sahaja. Pakaian saya kotor, berlumpur dan basah. Jatuh ke dalam sawah tadi.” Kata Cikgu R dengan hormat.
Makcik yang sedang baring itu kelihatan tersenyum. Melihat makcik itu tersenyum, Cikgu R pun meneruskan perbualan.
“Makcik, minta maaf sekali lagi. Saya dating ni tanpa memberitahu terlebih dahulu. Emm..makcik, benarkan Idah tinggal di sini?” Cikgu R bertanya dengan lembut dan bersopan santun.
“Ooh, jadi anak ini cikgu ya? Cikgu Ida, ya?” Makcik itu bertanya sambil meletakkan sebiji bantal lagi di bahagian kepalanya supaya dia dapat meninggikan lagi kepalanya atau dalam kedudukan bersandar.
“Ya, makcik. Jika begitu, benarlah Idah tinggal di sini?” Cikgu R terus bertanya.
Dia inginkan kepastian.
“Ya, dia ada di belakang sana barangkali,” kata makcik itu.
Tangannya diangkat dan menunjuk kea rah belakang pondok.
“Ooh…!” Cikgu R mengangguk.
“Kesian dia tu cikgu. Ibu bapa sudah tiada..sejak dia msih kecil. Datuknya pula meninggal tahun lalu. Jadi semenjak itu, kamilah yang tinggal dua beranak.”
“Makcik tidaklah rasa terlalu tua untuk membantu membesarkan dia tapi kebetulan makcik tidak berapa sihat sejak tiga hari lalu hingga ke hari ini.” Makcik itu memberitahu Cikgu R.
“Yakah?” Cikgu R terperanjat.
“Astagfirullah…apa yang aku sudah buat?” Hati Cikgu R berkata. Menyesal.

...bersambung

Wednesday, 16 March 2011

SALAH SIAPA?


“Tok, tok, tok,” pintu biik darjah 6 Galaksi diketuk.
Najwa berhenti menulis jawapan kerja rumah matematik yang diarah. Semua pelajar memandang ke muka pintu yang masih terbuka. Najwa juga demikian dan termasulah Cikgu R.  Pelajar yang berdiri di depan pintu itu memang cukup dikenali mereka. Bukan sebab dia adalah kawan sekelas mereka tetapi kerana namanya kerap menjadi sebutan Cikgu R – Guru Darjah 6 Galaksi.
“Selamat pagi cikgu”
Idah memberi salam.
“Ah, engkau lagi! Tahukah engkau, cikgu paling tidak suka kepada pelajar yang lewat masuk kelas?”
Kata-kata Idah segera dipintas oleh Cikgu R.
“Minta maaf cikgu, saya sudah berusaha untuk sampai lebih awal tapi…”
“Tapi apa?”
Cikgu R mengherdik garang. Gema suaranya kedengaran hingga ke seluruh bilik darjah Sekolah Rendah Kebangsaan Karakit.
“Sudah berapa kali engkau lewat datang ke sekolah dan alasan yang sama jugalah yang saya dengar”, sambung Cikgu R lagi.
Idah diam kemudian terus melangkah masuk ke dalam bilik darjah.
“Waah, terus saja ke meja! Tidak beradab betul. Saya yang ada di depan ini tidak dipandang langsung.”
Cikgu R kelihatan menjadi lebih berang.
“Minta maaf cikgu. Saya mahu letakkan dulu buku-buku saya di meja saya. Saya memang hendak berjumpa cikgu lepas ini,” kata Idah dengan tenang.
“Amboi, amboi, amboi! Pintarnya engkau menjawab. Tak perlu. Datang terus ke depan.”
Cikgu R berdiri sambil menolak pinggang, menunggu Idah menghampirinya.
“Selamat pagi cikgu. Saya minta maaf kalau kurang beradab tadi,” kata Idah penuh sopan.
“aaah!”
‘Pess!’
Tamparan Cikgu R singgah di pipi Idah yang masih kelihatan basah terkena peluh.
“Idah!” Najwa menjerit memanggil nama Idah, rakan karibnya sejak darjah 1.
Idah rebah, tersungkur. Buku-bukunya jatuh berselerak di lantai. Dia tidak menangis. Perlahan-lahan dia bangun dan mengutip buku-buku latihan dan rujukannya.
“Mari, biar saya tolong awak kutip buku-buku awak ya Idah?” Najwa segera meninggalkan kerusinya dan mula membantu Idah mengutip semua bukunya.
“Tidak perlulah Najwa, saya boleh kutipnya sendiri. Terima kasih ya kerana ingin menolong saya.”  Katanya perlahan dan tersekat-sekat.
“Tidak. Saya mesti tolong awak juga. Awak masih letih. “
“Najwa, siapa suruh awak bantu dia? Saya ada beri arahankah?” Bentak Cikgu R
“Kasihanlah dia cikgu. Dia baru saja sampai sudah jadi begini.”
Najwa meluahkan perasaan simpatinya.
“Yang awak sibuk-sibuk tu mengapa? Dia ni sudah seumur awak. Sudah besar. Balik ke tempat duduk awak,” tengking Cikgu R kemudian segera mencapai rotan yang ada di atas meja guru.
“Tapi cikgu..”
“Saya kata balik ke kerusi engkau, baliklah.” Suaranya semakin tinggi.
“Balik!” Dia menengking.
Suaranya lebih tinggi lagi apabila melihat Najwa masih tidak mahu bergerak.
Najwa memandang muka Idah. Idah tidak menangis tetapi di kedua kelopak matanya kelihatan air jernih menggenangi kelopak bawah matanya. Di hujung bibir Idah kelihatan ada darah yang mengalir keluar hampir ke dagunya.
Idah kemudiannya berdiri sambil memandang Cikgu R. Buku-bukunya  semua telah dikutip dan sedang dijinjingnya.
“Terima kasih cikgu. Mudah-mudahan dengan  cara mendidik cikgu ini akan menjadikan saya lebih baik, rajin dan pandai. Semoga jasa cikgu dirahmati Allah.”
Idah mengucapkan terima kasih.
“Bolehkah saya duduk di kerusi saya, cikgu?” Tanya Idah dengan nada sebak.
“Boleh tu boleh tapi bukan hari ini. Hari esok atau seterusnya. Itu pun kalau engkau tidak lewat sampai ke sekolah dan masuk ke kelas saya,” Cikgu R menekan-nekan ubun-ubun Idah.
Idah membiarkan sahaja. Bagi dia, Cikgu R adalah Guru Matematik dan Guru Darjahnya dan perlu terus dihormati.
“Idah, awak nampak pintu tu?” Tanpa Cikgu R sambil menuding jarinya ke pintu yang terbuka.
“Nampak cikgu,” jawab Idah. Ringkas.
“Dengan arahan saya, awak dengan buku-buku awak boleh pulang sekarang.”
Cikgu R menepis bahu Idah.
“Saya tidak suka pelajar lewat masuk kelas saya. Pemalas macam awak ini perlu diajar dengan cara ini. Awak boleh pulang sekarang.”
Cikgu R memegang bahu Idah, memusingkan badannya menghadap ke pintu dan kemudian menolak badan Idah hingga ke luar bilik darjah.
“Pulang!” Herdiknya lagi.
“Cikgu, janganlah begitu. Idah bukan sengaja datang lewat. Kasihanlah tengok dia.” Najwa cuba meminta simpati Cikgu R supaya membenarkan Idah masuk  ke bilik darjah.
“Awak apa tahu? Awak tahu apa saya sedang fikir? Awak tahu kenapa saya buat begini?” Tanya Cikgu R kepada Najwa.
Sungguhpun begitu Cikgu R tidak berniat pun mengetahui jawapan Najwa.
“Cikgu, tolonglah. Biarlah dia masuk dan belajar sama-sama dengan kami,” ujar Najwa.
Dia Ketua Kelas. Dia harus berusaha menarik simpati Cikgu R untuk membenarkan Idah masuk ke kelas. Kemudian diikuti oleh beberapa orang murid lagi. Ketika Cikgu R melayan rayuan rakan-rakan Najwa di 6 Galaksi, Idah tela pun melangkah pulang meninggalkan pintu bilik darjah  yang masih terbuka.
“Biarkan dia. Budak pemalas tidak perlu dimanjakan. Mesti kena ajar.” Cikgu R bercakap sambil melihat Idah yang semakin jauh dari pandangan matanya.

3 hari selepas itu....

(Bersambung..) 

Saturday, 12 March 2011

JANGAN UCAPKAN SELAMAT TINGGAL

[diari lama]

Jangan ucapkan selamat tinggal
kerana aku masih menyayangimu
jangan ucapkan...sakit..
...
mulai saat ini,
akan kusimpan dikau selamanya
di dalam hatiku
...
hakikat
terpaksa
...
'dia' sudah pergi jauh
bersama sayang dan rindu
hadirnya di mahligai kasih fantasi
dinafi..
...
tiada lagi bicara
tiada lagi cerita
          kutunai pintamu
              selamat tinggal
...
sering selisih, emosi
maaf, bicara tidak lama
nanti air mata mengalir lagi
.....
[dan tangisku tak kedengaran juga]
[dan ronta jiwaku di alam rahsia]
...
jangan ucapkan selamat tinggal
jangan ucapkan...
      ...masih adakah lagi?             

Friday, 11 March 2011

ALANGKAH BAIKNYA

Lidah mudah saja melepaskan kata-kata
semudah air yang mengalir di cerun gunung
menyelinap ranting-ranting rebah
menyusur tanah rendah sebelum ke ulu sungai, 
ke muara dan akhirnya ke lautan terbuka
alangkah baiknya 
jika hati juga akan semudah itu membunuh 
siapa saja yang hadir dan bertenggek di dalamnya.
dan kemudian hati boleh kosong kembali, 
bersih dari sampah yang kotor 
putih kembali seperti mula

Saturday, 5 March 2011

TERLUPAKAH ATAU ALPA

semalam ada bayu bertiup sayu
menyelinap daun pintu sejarah lama
lalu masuk di segenap ruang raga
berbisik sendu tentang bekas langkah
yang ditinggalkan tidak pernah kelihatan arahnya
hingga semua lenyap dilitupi dedaunan gugur
dan salju yang meluru jatuh
berbisik sendu tentang suatu kealpaan
melukiskan sebuah gambaran impian
       .........
             terlupakah?
                   atau belum sempat?
                             atau memang penghujungnya begini?

Thursday, 3 March 2011

KUCUBA MENANGKAP SERPIHAN YANG HANCUR

Tadi, sempat kubayang lembutmu
dalam lipatan kenangan usia
bagaikan lembutnya riak ombak menyapa
hujung jemarimu
tika bersimpu di tangga asrama itu
namun, bayang itu tiba-tiba saja hancur
dilanda angin pantai yang bertiup kasar
dari pelbagai arah
ingin juga kumencuba menangkap serpihan yang hancur
untuk kusatukan menjadi satu semula
tapi ia cuma bagaikan sampah
sedang aku tidak punya masa
untuk menyusunnya lagi
.....

Wednesday, 23 February 2011

BERMALAM DI REST HOUSE

Cikgu R berdiri di bahagian depan bot. Sambil matanya liar memandang setiap sudut pantai Kg Cinta Mata yang terletak di bahagian hujung pulau itu.
"Kalau dibandingkan dengan pantai pulau Maliangin Kecil dan Maliangin Besar, bahagian hujung pulau Banggi ini tidaklah secantik mana tapi saya suka dengan bentuk dan kedudukan batu yang ada di situ." Cikgu R menuding ke arah hujung pulau Banggi.
"Banyak ikan di sini ni, tau!" Sampuk cikgu K.
"Alaa kau ni, belum habis saya cakap pasal kecantikan hujung pulau tu, kau sudah cerita tentang ikan pula. Kalau pasal ikan, ligat fikiran kau ya? Cikgu R bergurau.
"Sabar. Sabar. Cuba tengok tu, jeti sudah dekat. Kita sudah hampir ke destinasi." Cikgu K memuncungkan bibirnya memberi isyarat.
"Yalah. Inilah sebab saya berdiri awal-awal di sini. Saya mahu lebih dahulu pijak hujung jeti itu."
Dia menjawab tenang tapi jelas menampakkan air muka berjenaka.
"Minta maaf cikgu,  saya perlu ke depan. Mau kawal bot ni bila sampai di hujung jeti." Kata seorang awak-awak bot nelayan itu.
"Ops..ups..hati-hati. Tercepit jari nanti." Cikgu R mengingatkan awak-awak tadi bila melihat awak-awak itu cuba untuk menahan kelajuan bot itu ketika sampai di hujung jeti.
"Ceh, kau ini. Dia lagi ada pengalaman dari kau dalam soal kerja-kerja beginilah. Mengajar itik berenang!" Cikgu K menyindir sambil ketawa.
"Hahahahahaha.." Mereka ketawa bersama.
"Eh, ini malam kena tidur di mana kita?" Tanya cikgu R.
"Kau tanya sayakah? Patutnya kau tanya mereka tu. Ada-ada sajalah kau ni R."
Cikgu K menepuk belakang cikgu R.
"Pakcik Asmara, ini malam mau tidur di mana kami ini ya?" 
"Belum ada rumah lagi ni," sambungnya lagi.
Kemudian dengan tenaga muda, kedua-dua mereka melompat ke atas jeti.
"Tidur di rumah pakcik sajalah sigu. Macamana pun rumah pakcik tidaklah cantik tapi adalah tempat untuk tidur."
Pakcik Asmara menjawab selamba.
"Nah, ini tawaran baik ni pakcik."
Cikgu R menjawab dan kemudian ketawa kecil.
"Hehehehe...,"  pakcik asmara ketawa.
"Kenapa pakcik? Tanya cikgu R sambil menarik tangan pakcik Asmara ke atas jeti.
"Jangan susah hati bah sigu. Di sana tu, ada rest-house juga. Murah saja. RM10 saja satu malam. Kalau tidak mau di sana, tidur di rumah saya saja bah." Pakcik Asmara memberitahu dan mempelawa cikgu R dan cikgu K.
"Di sini ada rest-house?" Terperanjat cikgu R.
"Ada. dari dulu lagi sudah ada bah sigu." jawab pakcik Asmara.
"Nah, ngamlah. Kita tidur di rest-houselah ini malam."
Dia memandang cikgu K untuk mendapatkan persetujuan.
"Di mana lagi?" Cikgu K menjawab.

...bersambung..
"