Pages

Saturday, 5 March 2011

TERLUPAKAH ATAU ALPA

semalam ada bayu bertiup sayu
menyelinap daun pintu sejarah lama
lalu masuk di segenap ruang raga
berbisik sendu tentang bekas langkah
yang ditinggalkan tidak pernah kelihatan arahnya
hingga semua lenyap dilitupi dedaunan gugur
dan salju yang meluru jatuh
berbisik sendu tentang suatu kealpaan
melukiskan sebuah gambaran impian
       .........
             terlupakah?
                   atau belum sempat?
                             atau memang penghujungnya begini?

Thursday, 3 March 2011

KUCUBA MENANGKAP SERPIHAN YANG HANCUR

Tadi, sempat kubayang lembutmu
dalam lipatan kenangan usia
bagaikan lembutnya riak ombak menyapa
hujung jemarimu
tika bersimpu di tangga asrama itu
namun, bayang itu tiba-tiba saja hancur
dilanda angin pantai yang bertiup kasar
dari pelbagai arah
ingin juga kumencuba menangkap serpihan yang hancur
untuk kusatukan menjadi satu semula
tapi ia cuma bagaikan sampah
sedang aku tidak punya masa
untuk menyusunnya lagi
.....

Wednesday, 23 February 2011

BERMALAM DI REST HOUSE

Cikgu R berdiri di bahagian depan bot. Sambil matanya liar memandang setiap sudut pantai Kg Cinta Mata yang terletak di bahagian hujung pulau itu.
"Kalau dibandingkan dengan pantai pulau Maliangin Kecil dan Maliangin Besar, bahagian hujung pulau Banggi ini tidaklah secantik mana tapi saya suka dengan bentuk dan kedudukan batu yang ada di situ." Cikgu R menuding ke arah hujung pulau Banggi.
"Banyak ikan di sini ni, tau!" Sampuk cikgu K.
"Alaa kau ni, belum habis saya cakap pasal kecantikan hujung pulau tu, kau sudah cerita tentang ikan pula. Kalau pasal ikan, ligat fikiran kau ya? Cikgu R bergurau.
"Sabar. Sabar. Cuba tengok tu, jeti sudah dekat. Kita sudah hampir ke destinasi." Cikgu K memuncungkan bibirnya memberi isyarat.
"Yalah. Inilah sebab saya berdiri awal-awal di sini. Saya mahu lebih dahulu pijak hujung jeti itu."
Dia menjawab tenang tapi jelas menampakkan air muka berjenaka.
"Minta maaf cikgu,  saya perlu ke depan. Mau kawal bot ni bila sampai di hujung jeti." Kata seorang awak-awak bot nelayan itu.
"Ops..ups..hati-hati. Tercepit jari nanti." Cikgu R mengingatkan awak-awak tadi bila melihat awak-awak itu cuba untuk menahan kelajuan bot itu ketika sampai di hujung jeti.
"Ceh, kau ini. Dia lagi ada pengalaman dari kau dalam soal kerja-kerja beginilah. Mengajar itik berenang!" Cikgu K menyindir sambil ketawa.
"Hahahahahaha.." Mereka ketawa bersama.
"Eh, ini malam kena tidur di mana kita?" Tanya cikgu R.
"Kau tanya sayakah? Patutnya kau tanya mereka tu. Ada-ada sajalah kau ni R."
Cikgu K menepuk belakang cikgu R.
"Pakcik Asmara, ini malam mau tidur di mana kami ini ya?" 
"Belum ada rumah lagi ni," sambungnya lagi.
Kemudian dengan tenaga muda, kedua-dua mereka melompat ke atas jeti.
"Tidur di rumah pakcik sajalah sigu. Macamana pun rumah pakcik tidaklah cantik tapi adalah tempat untuk tidur."
Pakcik Asmara menjawab selamba.
"Nah, ini tawaran baik ni pakcik."
Cikgu R menjawab dan kemudian ketawa kecil.
"Hehehehe...,"  pakcik asmara ketawa.
"Kenapa pakcik? Tanya cikgu R sambil menarik tangan pakcik Asmara ke atas jeti.
"Jangan susah hati bah sigu. Di sana tu, ada rest-house juga. Murah saja. RM10 saja satu malam. Kalau tidak mau di sana, tidur di rumah saya saja bah." Pakcik Asmara memberitahu dan mempelawa cikgu R dan cikgu K.
"Di sini ada rest-house?" Terperanjat cikgu R.
"Ada. dari dulu lagi sudah ada bah sigu." jawab pakcik Asmara.
"Nah, ngamlah. Kita tidur di rest-houselah ini malam."
Dia memandang cikgu K untuk mendapatkan persetujuan.
"Di mana lagi?" Cikgu K menjawab.

...bersambung..
"

Friday, 18 February 2011

NASIB BAIKLAH SAYA MEMAKAI KASUT KULIT..

Pagi itu saya perlu membuat panggilan telefon dengan segera. Tidaklah penting tapi hanya untuk membuktikan bahawa saya tidak lupakan dia, isteri yang berseorangan di rumah.
     Bagaimanapun, skrin handphone menjelaskan bahawa di kawasan itu sukar untuk mendapat rangkaian celcom. Saya tidak berputus asa. Saya turun ke tanah dan berjalan-jalan di sekitar halaman rumah kerajaan yang dikhaskan untuk para jururawat desa yang bertugas di klinik tersebut.

     Memang benar...tiada satu pun tanda menunjukkan panggilan telefon boleh dibuat. Saya tidak percaya. Saya pun bergerak perlahan-lahan ke arah pintu utama pagar klinik sambil mata terus mengamati skrin handphone nokia, satu-satunya yang saya miliki. Sambil melangkah perlahan-lahan, saya juga menghalakan handphone ke pelbagai arah…harap-harap dapat rangkaian.

     Saya sudah berada di hadapan pintu utama klinik. Rasanya, jika di kawasan itu pun saya tidak mendapati adanya rangkaian telefon, bermakna memang benarlah di kawasan itu memang tidak ada langsung rangkaian telefon. Dan saya akan berpuas hati.

     Sambil melangkah perlahan-lahan, Saya mengangkat telefon lebih tinggi. Di hala ke utara, selatan, timbur dan barat. Kosong! Geram kerana masalah itu saya menghalakan handphone ke langit. Nah! Kali ini berjaya. Full pula line kalau begini! Saya bercakap sendiri. Tapi selepas melangkah selangkah, line lenyap 100%. Mungkinkah kerana saya perlu mundur selangkah semula? Saya mundur..benar bar line penuh…4 line!

     Ingin memastikan keistimewaa kedudukan saya ketika itu, saya membuat langkahan ke kiri, ke kanan dan ke belakang. Sambil kepala mendongak melihat handphone. Pelik bin ajaib, apabila saya membuat perubahan kedudukan selangkah ke kiri, ke kanan atau ke belakang, bar line akan terus hilang. Oleh itu saya pun kembali ke kedudukan full bar line tadi. Dalam fikiran saya tertanya-tanya mengapakah tempat saya berdiri ketika itu amat istimewa?

     Saya cuba melihat sekitar , tidak ada satu petunjuk yang boleh saya jadikan alasan mengapa tempat berdiri saya itu luar biasa.  Saya pun cuba untuk mencari jawapan dengan melihat ke bawah. Melihat kaki yang berpijak ke bumi. Astagfirullah……..dan saya ketawa sendiri.
Rupa-rupanya saya sedang berdiri …ngam-ngam di tepat di mana tertompoknya tahi lembu yang masih baru dan basah. Nasib baik saya memakai kasut kulit ketika itu.

CATATAN DARI SEORANG TEMAN


Alangkah indahnya
Sinar mentari yang menguning
Mencelah pepohon kasih
Membelah samar senja yang hampir berakhir
Selepas siang redup diselubung gelap awan dingin
Nun, di kejauhan kaki langit
Pasangan camar menyanyi bersahutan
Diiring nada rindu riak laut yang setia
Berpaut beralun berkejaran
Mengharap menerpa pantai sebelum malam
Alangkah bahagianya
Andai indah senja ini akan selamanya
Begini dan di sini
......
     .......
           Ah...mengapa kelopak mataku basah?

HEBATNYA SEBUAH KENANGAN.

Sekonyong-konyong
bagai disambar taufan
aku terlayang
tinggi...
jauh...
lalu dilepas jatuh di menara rindu

hebatnya
sebuah kenangan
bisa saja mencambah kasih
meski sudah berpuluh tahun
lamanya
tertimbus di dasar lautan masa

KENA MELUTUT JUGALAH...

( sambungan Malunya Disembunyikan )

Dia hanya melemparkan senyuman.
"Melayan malu dalam situasi begini hanya menyusahkan diri sendiri sahaja," hati kecilnya berkata.
"Ah, pedulilah. Yang penting, aku akan rasa selesa selepas ini." Cikgu R nekad.
Hook seluar dibuka. Zip diturunkan.
"Kalau basah, ganti sahajalah dengan seluar yang ada," Cikgu R sendiri tetapi dengan nada suara yang jelas.
Dia mahu semua penumpang yang ada di belakang bot nelayan itu dengar.
"Biar nampak gentleman sikit," bisiknya lagi.
"Cuurrrrrr.....rrrrrrrrr......rrrrrr.....rrrrrrrr..."
 "Ah, syukurlah dah selamat."

"Terima kasih pakcik. Bimbang juga tadi. Susah juga kalau 'permintaan' terpaksa ditunaikan di tengah lautan ni. Kena melutut juga kita dibuatnya," gurau Cikgu R.
"Macamana rasa sekarang sigu? Sudah ringan?" Pakcik Asmara bertanya.
Cikgu R tahu pertanyaan itu adalah gurauan sahaja.
"Barulah boleh duduk selesa pakcik. Fikiran pun tidak terganggu lagi," dia menjawab dan kemudian ketawa panjang.
Semua penumpang turut ketawa.
"Cikgu, kita baru hari ini jumpa dan kenal tapi kita sudah macam biasa betul sudah," kata seorang ibu yang ada bersama dalam bot itu.
"Kalau begini, cikgu tidak susahlah mahu hidup di mana cikgu pergi," sambung seorang lagi wanita  separuh umur.
"Makcik, saya harap saya akan jadi benih yang baik. Kalau dicampakkan ke laut pun akan menjadi pulau. Akan berguna kepada sesiapa sahaja. Akan disenangi di mana saya berada." Cikgu R menjawab.
"Anduu...hapna atei cigu tuuu," wanita lain pula menjawab dengan menggunakan bahasa ibunda mereka.
Kemudian kelihatan yang lain juga seperti mengiakan.
Entah apa yang dimaksudkan oleh mereka Cikgu R dan Cikgu K tidak memahaminya. Namun apa yang diperhatikan, mereka yakin bahawa nampaknya hati mereka telah dicuit oleh gelagat Cikgu R.
"Nasib baik kau ada sama-sama kami dihantar ke Pulau Banggi. Tengok, terhibur juga semua penumpang." Cikgu K berbisik kepada Cikgu R.
"Ini pun kerana kamu ada bersama-sama saya, kalau tidak entah apa yang akan saya buat," katanya memujuk.
"Tapi, kalaulah kau yang mengalami situasi buang air kecil sambil melutut di ekor bot ini, tentu kau dapat rasa betapa tebalnya muka saya sebentar tadi." Cikgu R cuba memberitahu sahabat karibnya itu tentang perasaan ysebenar yang dirasainya.
"Malu juga tapi mahu buat macamana? No way!" Dia berkata dengan nada agak perlahan.
Sambil itu dia  melukiskan apa-apa gambar menggunakan jarinya di atas lantai belakang bot nelayan itu. Sengaja supaya penumpang lain tidak mengetahui apa yang diperkatakannya.
"Terpaksalah tidak bersuci juga, kan?" Cikgu K ketawa sinis.
"Nantilah, sampai di pulau tu. Ini dikira hukum darurat juga ni" dia cuba mempertahankan dirinya.
"Ada pula hukum darurat kalau di tengah lautan ya?" Cikgu K berpura-pura tidak tahu.

"Kalau di padang pasir tu, percayalah saya," sambung Cikgu K lagi.
Cikgu R hanya mengangguk-angguk kepala sambil senyum ala P. Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, ketika kopi yang dibancuh oleh Belalang dikatakan sedap oleh orang sekampungnya.
"He, he, he." Cikgu R ketawa kecil.
Kemudian kedua-dua mereka ketawa.

Judul Cerpen akan datang -  Bermalam Di Rest House