Pages

Wednesday, 14 September 2011

TIBA-TIBA SAJA

Tiba-tiba saja
bumi jadi kelam
sedang langit tidak berawan
mentari juga tidak gerhana
dan yang tinggal
hanya nebula yang pecah warnanya

Friday, 27 May 2011

TULISKAN UNTUKKU.........

Tuliskan untukku
bait-bait kata isi hati
agar dapatku nyanyikan
semerdu mahumu
di kala dikau dikepit resah

Tuliskan untukku
baris-baris bicara nurani
supaya mampuku lagukan
selunak harapmu
di waktu dikau didakap rindu

Sunday, 17 April 2011

BILA KUTAHU

Bila kutahu
aku sudah kehilangannya
bila kusedar
aku sudah tidak punya apa-apa

Thursday, 7 April 2011

ANDAI KAU TAHU

Andai kau tahu
                 betapa pedihnya
                                   hati
                                       dihiris
                                               rindu

Saturday, 26 March 2011

SAPUTANGAN WARNA BIRU


[Perhatian : Kepada pembaca budiman, segala nama watak dalam cerpen ini hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kena-mengena dengan yang masih hidup mahu pun yang sudah mati. Sekiranya terdapat persamaan nama, itu adalah secara kebetulan semata-mata]


“Dia pasti akan datang. Dia pasti akan sampai hari ini. Dia sudah berjanji kepadaku,” dia menanti penuh sabar.
Kasihnya pada R membuatkan rindunya semakin mendalam.
“Abang, nanti bila sampai, kita ke tempat ini dulu ya?” Hatinya berbicara. Dia tersenyum sendiri.
Permukaan batu itu disapu-sapu dengan telapak tangannya. Sesekali dia meniupnya supaya tiada lagi pasir yang mengotori permukaan batu itu.
Dia masih ingat kenangan lampau, di atas batu itulah dia dan orang yang dikasihinya itu duduk memadu kasih sambil menikmati keindahan ombak yang memecah di pantai Cinta Mata itu.
Di lehernya terikat sehelai sapu tangan sutera berwarna biru. Saputangan pemberian orang yang dirinduinya  sebelum pergi meninggalkannya di kampung itu beberpa tahun yang lalu.

“Lima tahun nanti, abang akan kembali ke sini. Kembali untuk menemuimu..dan lepas itu kita bina hidup kita, ya?” R melafazkan janji sambil mengikat saputangan sutera di lehernya.
“Tepat pada tarikh 26hb. Mac 2011 itu kelak,  Nor pasti akan dapati abang berada di sini. Di sisi sayang.” Kata-kata R itu masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Abang, macamana Nor akan tahu abang ada di bot nelayan yang akan abang tumpangi ketika datang semula nanti?” Dia berpura-pura bertanya.
Bukan apa-apa. Dia cuma mahu lebih lama dapat bercerita dan memandang R. Dia mahu akan terus berada di sisi kekasihnya itu sebelum dia meninggalkannya.
“Sayang,” R menyentuh hidungnya dengan hujung jari.
“Nanti, pada tarikh yang abang sebut tadi, pada tiang bot nelayan itu, abang akan ikatkan sehelai saputangan yang juga berwarna biru”
“Ingat ya, saputangan warna biru.”
“Bukan warna lain tau..” Ingat R kepadanya sambil bergurau dengan mencubit lembut hidungnya.
“Ya, Nor tak akan lupa. Nor akan ingat semua tu.” Dia bercakap sendirian.
Kenangan lima tahun yang lalu itu bagaikan sedang berlaku di depan matanya.

“Ah, itu ada sebuah bot nelayan!” Dia segera berdiri dan memandang tepat kea rah bot nelayan yang sedang bergerak mengikut haluan ke jeti pulau itu.
Degub jantungnya berubah menjadi pantas. Air mukanya kelihatan bertambah ceria.
“Ya Tuhan, kepada-Mu aku memohon!” Dia mengangkat tangan dan berdoa.
Dalam hatinya meminta-minta supaya R ada di bot itu.
“Ah, saputangan itu...saputangan itu...” Bisiknya.
Bot nelayan itu semakin dekat namun tiang bot itu belum lagi kelihatan dengan lebih jelas .
Tiba-tiba dia menarik nafas panjang. Dari kedua kelopak matanya menitis air jernih membasahi pipinya yang halus. Kakinya bagai tidak berpijak di bumi lagi. Gembiranya bukan kepalang. Hatinya puas.
Bot nelayan itu sudah menghampiri hujung jeti Cinta Mata. Dia segera berlari ke hujung jeti. Dia mahu menyambut ketibaan orang yang sangat dirinduinya itu. Dia pasti bahawa R ada di dalam bot itu. Saputangan warna biru yang dijanjikan ada terikat di tempat yang dinyatakan oleh R dahulu.
Seorang demi seorang penumpang yang ada di dalam bot itu naik ke atas jeti namun dia belum juga melihat kelibat orang yang dinantinya.

“Assalamualaikum.”
“Ya, waalaikum salam!” Dia menjawab tanpa memandang orang yang memberi salam kepadanya.
“Assalamualaikum, boleh saya bertanya?” Lelaki itu mengulangi salam dan mengajukan pertanyaan.
Dia tidak menjawab tetapi matanya terus liar memerhati orang-orng yang masih ada di bot nelayan itu.
“Hello!” Lelaki itu menggerak-gerakkan tapak tangan di hadapan matanya.
“Ya, kenapa?” Dia menoleh ke arah lelaki yang baru tiba tadi dan sedang berdiri di sisinya.
“Saya minta maaf. Kamu kenalkan dengan o.....” lelaki itu tidak meneruskan pertanyaannya.
Dia juga tidak dapat berkata apa-apa. Dia terpaku.
“Kamu..abang...” Dia seolah-olah kenal lelaki itu.
“Sebentar ya cik, kamu ini ...” lelaki itu berhenti  bercakap lagi.
Dia memandang sekeping gambar yang ada bersamanya. Dia juga melihat saputangan yang terikat di leher wanita yang ada di hadapannya kemudian melihat saputangan yang terikat di tiang bot nelayan itu.
“Kalau begini, betullah kamu orangnya. Gambar ini mirip sangat rupa kamu. Tanda yand diberitahu juga sama.” Lelaki itu menarik tangannya ke bawah pondok di hujung jeti itu.
“Panas!” kata lelaki itu. Pendek.
“Kamu..bukankah ini abang..” suaranya semakin sukar didengar.
Dia tunduk.
“Kenapa orang ini mirip sangat dengan waja abang R. Tapi kenapa abang R tidak mengenaliku?” Dia semakin keliru.
“Cik ini tentunya Normah, kan?” lelaki itu masih ragu-ragu.
“Bukan Normah tapi Norsmah,” jawabnya memperbetulkan kesilapan nama yang disebutkan.
Namun dalam hatinya bertanya, mungkinkah juga orang yang dicari lelaki itu adalah Normah.
“Tapi kenapa suara dan wajah dia mirip suara dan wajah abang R?” Hatinya bertanya lagi.
“Oh, adakah betul gambar ini gambar Cik?” Lelaki itu menghulurkan gambar yang dipegang kepadanya.
“Ya, ini gambar saya. Gambar lima tahun dulu. Gambar masa masih umur 16 tahun.” Dia menjelaskan.
“Kalau begitu, surat ini adalah untuk Cik Nor,” lelaki itu menghulurkan sepucuk sampul surat.
Sampul surat itu tidak tertulis namanya tetapi hanya kata-kata.
Ingat, bukan warna lain tau....
Melihat ayat itu dia pasti surat itu adalah dari R.

Dia segera mengambilnya dan membuka dengan hati-hati. Bagaimanapun, dalam hatinya masih tertanya-tanya siapakah lelaki yang membawa surat itu. Mengapa wajahnya mirip lelaki yang ditunggunya. Kalau dia R mengapa dia seperti tidak mengenalinya
Selesai membuka sampul surat itu, dia segera bergerak ke penjuru pondok dan membelakangi lelaki misteri itu  kemudian membaca surat tersebut.

Sayangku, maafkan abang kerana tidak dapat bersamamu buat seketika.
Jagalah dirimu baik-baik. Insya-Allah, abang akan kembali secepat mungkin. Salam sayang daripada abang.
Jumpa lagi!
~R

“Apa?” Dia terperanjat.
“Kalau begini..”
“Abang..” Dia menoleh ke belakang.
Lelaki itu tiada lagi di jeti itu. Bot nelayan juga sudah mula menjauhi hujung jeti. Di hadapan bot itu berdiri lelaki tadi sambil melambai-lambaikan tangan
“Norsmah, tunggu abang ya. Abang pergi tak lama.” Lelaki itu melaungkan namanya sambil melambai-lambaikan saputangan warna biru kepadanya.
Dengan isyarat saputangan itu tahulah dia bahawa yang baru berhadapan dengannya tadi itu adalah benar orang yang sangat-sangat dirinduinya.
“Abang..?” Dia memanggil perlahan. Dadanya sebak.
“Aaaaaaaaaaaarrrrr...!”
Dia memanggil dengan suara sayu kemudian semakin perlahan dan terus hilang. Tubuhnya terasa amat lemah. dan kemudian rebah. Tidak sedarkan diri.

Sekian.


Salah Siapa 3 : JANGAN TINGALKAN IDAH.


“Eh, cikgu! Assalamualaikum cikgu!” Kedengaran suara memberi salam.
“Idah, dari mana tadi? Eer..waalaikum salam.” Cikgu R bertanya dan kemudian menjawab.
“Dari belakang sana tu. Buka tambat kerbau ni,” kata Idah.
Sambil menarik kerbau betina, satu-satunya peninggalan arwah ayah dan ibunya.  Sementara itu, di bahu Idah duduk seekor monyet kesayangannya bernama Mimi. Mimi berpaut rapat dileher Idah.
Kaki Idah yang berlumpur dan dengan pakaian yang sudah lusuh itu cukup menggambarkan kesusahan hidup Idah.
Sayu hati Cikgu R melihat keadaan anak muridnya itu. Tiba-tiba sahaja tekaknya terasa sakit. Matanya juga terasa pedih.
 “Ah, sampai begini susah hidupnya?” Hatinya berbisik pilu.
“Cikgu…cikgu bila sampai?  Tanya Idah sambil menambat kerbaunya di tiang pagar di luar kawasan pondok sawah itu.
“Idah, cikgu baru sahaja sampai,” Sahut Cikgu R.
Perasaannya gembira bercampur kasihan yang amat sangat.
“Kenapa cikgu tidak beritahu awal-awal yang cikgu hendak ke mari? Boleh Idah tunggu semasa balik dari sekolah. Kita boleh sama-sama ke sini.” Idah bertanya.
Dia tidak melihat Cikgu R tetapi terus mencuci kakinya yang berlumpur dengan air sawah.
“Tapi maaflah cikgu, kami tidak dapat memberikan layanan yang baik. Maklumlah…,” dia berhenti seketika sambil memandang pondok mereka yang sudah using.
“Maklumlah, ini saja rumah yang Idah ada. Serba kekurangan. Tidak seperti orang lain. Tidak macam anak-anak murid cikgu yang lain juga.” Idah berkata selamba.
“Idah..?!” Suara Cikgu R tiba-tiba lebih tinggi daripada sebelum itu.
Dia melangkah merapti Idah yang juga sedang melangkah menuju ke pondok itu.
“Cikgu minta maaf Idah. Selama ini cikgu telah berlaku tidak adil terhadap kelewatan Idah tiba di sekolah.” Cikgu R makin hampir.
“Idah, cikgu minta maaf. Cikgu..” Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam sebik sahaja Idah sudah benar-benar di hadapannya.
Dia benar-benar berasa bersalah.
“Ah, cikgu..janganlah be…”
Belum sempat Idah menghabiskan kata-katanya dan belum sempat juga dia menyambut salam Cikgu R,
Tiba-tiba Mimi melompat dari bahu Idah.
“Eek! Eek!  Eek!”  Mimi menerkam tangan Cikgu R dan menggigit ganas.
“Aduh! Aduh! Idah..Idah monyet ni..” Cikgu R terperanjat dan mengadu kesakitan.
Sementara itu Mimi masih terus menggigit tangan Cikgu R. Tangn Mimi memegang kuat lengan Cikgu R.
Idah juga terkejut dengan tindakan pantas Mimi itu. Sebelum ini Mimi tidak pernah bertindak ganas begitu.
“Mimi! Mimi lepaskan tangan cikgu tu. Lepaskan!” Idah menjerit.
Namun Mimi bagai bertambah ganas terus menggigit kuat tangan Cikgu R.
“Aduh! Idah tolong cikgu.” Cikgu R kelihatan cemas dan bertambah kesakitan.
Idah cuba menampar-nampar belakang Mimi supaya Mimi melepaskan gigitannya tetapi sia-sia.
Mimi masih juga menggigit berang.
Idah jadi serba salah. Darah dari luka di tangan Cikgu R kerana gigitan Mimi mula mengalir jatuh ke tanah dengan banyak. Dia segera mencapai sebatang kayu yang ada di dekat kakinya.
“Mimi, Mimi, Mimi lepaskan. Lepaskan Mimi!” Idah memukul Mimi bertubi-tubi.
“Buk!” Mimi jatuh ke tanah.
Mimi menggelepur kesakitan. Matanya berkebil-kebil melihat Idah dan sekejap melihat Cikgu R.
Idah tergamam seketika dan melepaskan kayu di tangannya. Melihat keadaan Mimi yang sedemikian rupa Idah berasa bersalah.
“Mimi…Mimi…maafkan Idah..maafkan Idah Mimi..,” dia segera mengangkat Mimi dan memeluknya dengn erat sambil menangis dan memanggil-manggil nama Mimi.
“Idah tidak berniat hingga kau jadi begini.” Idah melutut.
Dia menangis
“Mimi…Mimi……” Dia menggerak-gerakkan tubuh Mimi apabila dia dapati Mimi semakin lemah dan kurang bermaya.
“Mimi…..” Idah meraung.
Mimi memandang tepat ke mata Idah. Bibirnya bergerak-gerak kemudian dengan lemah dia mengangkat tangannya menyentuh pipi Idah dan kemudian jatuh longlai.Idah terdiam seketika. Dia merenung Mimi dengan renungan yang cemas.
 “Jangan tinggalkan Idah. Jangan tingglkan Idah. Tiada siapa lagi teman Idah selain Mimi.” Idah berkata sambil mengharap sesuatu keluarbiasaan.
Kesedihan Idah bukan kepalang. Dipeluk Mimi, monyet kesayangannya dan temannya bermain setiap petang dengan penuh kasih sayang
“Mimi….bangunlah..Mimi!” Dia merayu.
Mimi  bergerak. Terketar-ketar seperti  kekejangan otot. Sebentar kemudian Mimi tidak bergerak lagi.
“Mimiiiiiii…,” Idah meraung memanggil  nama Mimi, menangis penuh kesedihan.


Tamat.

Persoalan : Siapakah yang sepatutnya dipersalahkan di atas kematian Mimi?

Thursday, 17 March 2011

Salah Siapa 2 : APA YANG AKU SUDAH BUAT?


3 hari selepas itu

“Emmm.. Najwa, mana Idah? Sudah tiga hari dia tidak dating ke sekolah,” Tanya Cikgu  R.
“Tak tahu cikgu. Manalah saya tahu kenapa dia tidak datang ke sekolah, cikgu.” Jawab Najwa.
Dari pandangan matanya, jelas dia masih berasa marah dengan Cikgu R.
“Eh, awakkan kawan karib dia. Macamana awak kata awak tak tahu?” Cikgu R berusha untuk mengetahui hal sebenar.
Dia yakin yang Najwa pasti tahu kenapa Idah tidak hadir selama tiga hari berturut-turut.
“Cikgu, apalah yang saya tahu. Tapi...tapi mungkin dia sakit cikgu,” jawab Najwa.
“Sakit?” Cikgu R terperanjat.
Dia berdiri dan berjalan ke arah Najwa.
“Sakit apa dia?” Tanya Cikgu R.
“Saya agak-agak saja cikgu. Hal sebenar saya tidak tahu.” Najwa  member tahu Cikgu R.
“Mungkin dia masih terasa sakit pada pipinya itu,” sambung Najwa.
“Oh! Awak sindir cikgu, ya? Cikgu R pura-pura bertanya.
Namun dalam otaknya memikirkan masalah yang sama juga. Mungkin sesuatu sudah  berlaku pada Idah.
“Tak apa. Cikgu akan siasat perkara ini. Cikgu nak tau mengapa dia tidak datang ke sekolah?”
“ Dia sudah layak diberi surat amaran pertama dengan tindakannya tidak hadir ke sekolah selama 3 hari berturut-turut.”
 Dia memberitahu semua pelajar kelasnya sambil cuba memberi  peringatan kepada murid-murid yang hadir.
“Cikgu..cikgu pernah pergi ke rumah Idahkah?” Tanya Najwa.
“Ha, kenapa? Kenapa tiba-tiba tanya cikgu macam itu? Ingat cikgu ni tak boleh carikah rumah dia tu?” Cikgu R cuba mengelak daripada menjawab soalan Najwa.
“Kalau cikgu mahu ke rumah Idah, cikgu susuri sahaja jalan kecil di simpang kiri, di hujung jalan itu.”
Najwa memberitahu dan sambil itu menunjukkan arah kedudukan simpang itu dari dalam bilik darjah.
Jalan itu memang mudah dilihat dari bilik darjah kerana bangunan sekolah SK Karakit terletak di atas bukit yang diratakan. Jalan yang dimaksudkan oleh Najwa terletak di bawah lereng bukit itu dan dapat dilihat dari bilik darjah mereka.
“Cikgu tau!” Cikgu R menjawab ringkas.
“Jalan itu tidak pernah saya lalui. Mendengar cerita jalan itu akan menuju kea rah kawasan tanah rata yang luas. Kawasan Bendang. Namun jauh dari sini.” Bisik hatinya.

Keesokan harinya.

“Aduh, licin juga permatang sawah ni.” Cikgu R bercakap sendiri.
Sudah tiga kali dia tergelincir dari permatang sawah itu. Di hadapannya, entah berapa jauh permatang lagi perlu dilalui. Seluarnya telah kotor terkena lumpur. Demikian juga sebahagian bajunya. Kasutnya juga berlumpur dan basah. Sudah tiga kali terlepas dari tangnnya ketika dia tergelincir jatuh.
“Tadi terpaksa mengayuh basikal di jalan sempit. Sekarang melalui permatang licin pula. Betulkah aku ini mengikut jalan yang betul ke rumah Idah?”
Cikgu R mula mengeluh. Terasa benar dia betapa sukarnya hendak ke rumah Idah. Sesekali dia berasa kurang yakin bahawa jalan itu adalah jalan menuju ke rumah Idah.
“Fuuh!” Dia mengesat peluh di dahi yang sudah sedari tadi mengalir membasahi mukanya.
“Adakah basikal tua tadi itu milik Idah?” Cikgu R bertanya pada dirinya sendiri sambil menoleh ke belakang, melihat basikal tua yang disandarkan di sebatang pokok jambu batu, di tempat dia mula berjalan melangkah menyusuri permatang tadi.
“Ah, syukurlah. Aku sudah hampir sampai.” Cikgu R berasa lega.
Muka Cikgu R kelihatan sedikit gembira. Bagaimana pun persoalan baru mula timbul di fikirannya.
Dia tidak percaya dengn apa yang dilihatnya. Adakah petunjuk yang diberi oleh murid-murid di kampung itu benar. Atau adakah dia telah dipermainkan oleh anak-anak muridnya kerana sikapnya yang agak garang itu.
“Agaknya mereka mahu membalas dendam.  Kemudian sengaja memberi petunjuk yang salah supaya aku sengsara di sini?” Dia berfikir.
“Takkan ini rumah Idah,” dia berbisik.
Cikgu R semakin curiga melihat pondok yang kelihatan sudah mula usang yang semakin dihampirinya itu.
Dia berhenti seketika. Melihat bendang di sekelilingnya, seluas mata memandang. Kawat dawai berduri yang dipasang memisahkan antara pemilik bendang diperhatikannya juga.
“Tapi, mengapa Idah tinggal di sini… di tengah-tengah bendang yang luas ini?” Dahinya berkerut.
Kemudian meneruskan langkahnya menuju ke pondok itu.
“Kenapa tidak bina sahaja rumah di kawasan dekat dengan sekolah atau berhampiran dengan rumah orang-orang kampung di sini?” Persoalan demi persoalan timbul di kepalanya.
“Pondok ini terlalu jauh dari sekolah. Perlu jalan awal-awal pagi lagi. Lagi pun, pondok ini tidak selesa untuk tempat belajar sendiri di rumah.” Dia bercakap sendiri lagi.
Sambil itu dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Assalamualaikum!” Cikgu R memberi salam sebaik sahaja tiba di pondok itu.
“Assalamualaikum!” Dia mengulangi salam.
“Waalaikum salam, masuklah!” Kedengaran olehnya suara lembut dan kurang bermaya dari dalam pondok itu.
“Assalamualaikum makcik. Maafkan saya. Izinkan saya di luar sahaja. Pakaian saya kotor, berlumpur dan basah. Jatuh ke dalam sawah tadi.” Kata Cikgu R dengan hormat.
Makcik yang sedang baring itu kelihatan tersenyum. Melihat makcik itu tersenyum, Cikgu R pun meneruskan perbualan.
“Makcik, minta maaf sekali lagi. Saya dating ni tanpa memberitahu terlebih dahulu. Emm..makcik, benarkan Idah tinggal di sini?” Cikgu R bertanya dengan lembut dan bersopan santun.
“Ooh, jadi anak ini cikgu ya? Cikgu Ida, ya?” Makcik itu bertanya sambil meletakkan sebiji bantal lagi di bahagian kepalanya supaya dia dapat meninggikan lagi kepalanya atau dalam kedudukan bersandar.
“Ya, makcik. Jika begitu, benarlah Idah tinggal di sini?” Cikgu R terus bertanya.
Dia inginkan kepastian.
“Ya, dia ada di belakang sana barangkali,” kata makcik itu.
Tangannya diangkat dan menunjuk kea rah belakang pondok.
“Ooh…!” Cikgu R mengangguk.
“Kesian dia tu cikgu. Ibu bapa sudah tiada..sejak dia msih kecil. Datuknya pula meninggal tahun lalu. Jadi semenjak itu, kamilah yang tinggal dua beranak.”
“Makcik tidaklah rasa terlalu tua untuk membantu membesarkan dia tapi kebetulan makcik tidak berapa sihat sejak tiga hari lalu hingga ke hari ini.” Makcik itu memberitahu Cikgu R.
“Yakah?” Cikgu R terperanjat.
“Astagfirullah…apa yang aku sudah buat?” Hati Cikgu R berkata. Menyesal.

...bersambung